Tuesday, July 15, 2008

Kata-kata yang terlanjur

Sebagai manusia biasa, tidak kira kita berpelajaran ataupun tidak, kita membina setiap kata-kata kita dari pemikiran yang baik, dari premis ini, kita menyampaikan hujah, mencetuskan emosi dalaman dan yang terpenting sekali bagaimana orang menanggapi kita dan memberikan persepsi. Jika kita ingin bertahan lama dalam pergaulan, dari sinilah orang akan memberikan justifikasi terhadap kita. Saya tidak pasti apa yang sebenarnya terjadi di Mukah kerana cakap-cakap yang ada itu mungkin juga betul dan mungkin juga sandaran daripada persepsi salah akibat daripada penerimaan yang salah juga. Namun sebagai seorang pembaca, saya lebih gemar mengatakan bahawa untuk apa isu itu diperkatakan? Apakah penulis veteran itu benar-benar sudah nyanyuk atau tidak boleh dipakai atau memang mereka itu sudah alpa atau kering ide? Saya tidak pasti tetapi sejujurnya saya ingin mengatakan tidak semua mereka bagus dan banyak juga mereka amat berguna untuk kita. Begitu juga yang muda, adakah mereka terlalu manja dan jika manja kenapa mereka terjadi demikian? Apakah mereka memang dibesarkan dalam situasi begini sekarang atau selama ini mereka sudah terbiasa dengan disudukan susu setiap masa?
Sekali lagi saya ingin berkata, saya tidak mampu untuk menjelaskan apa-apa kerana di sini kita tidak berminat untuk mengajar sesiapapun. Kita hanya sekadar ingin menulis dan memberikan lorongan pemikiran yang lebih baik, yang lebih terbuka untuk didiskusi bersama? Kalau penulis tua sudah alpa dan berkarat, kalau penulis muda sudah naik lemak, siapakah yang perlu membetulkan mereka ini? Pertamanya, kita kena serahkan tugas ini kepada birokrat sastera dan keduanya diri mereka sendiri dan ketiganya badan penulis. Birokrat sastera kerjanya meneliti mereka inilah, menggesa dan mempertingkatkan keupayaan susastera negeri kita kerana itulah peranan mereka dan penulis semestinya tidak henti-henti menuangkan khazanah sasteranya untuk tatapan umum kerana peranan mereka sepatutnya menulis dan pentadbir persatuan menyemarakkan aktiviti sastera dalam kapasiti mereka seadanya untuk memastikan ada katalis kesusasteraan berlaku di sekitarnya.
Saya lebih suka melihat hal ini dari sudut yang lebih positif daripada terlalu berprasangka untuk mengatakan dia salah dan majoriti tidak berpuashati dengan ketelanjuran itu. Jika itulah sikapnya, terimalah sikap itu sebagai trademark biasa dari kawan kita itu dan kita termaklum bahawa gerak guraunya jika diambil menjadi barah dan jika disantaikan menjadi pengajaran. Sukar untuk kita menidakkan peranan sesiapapun dalam kepompong sastera kita yang sulit ini. Kita telah terlalu lama menderita kerana pengurusan sastera yang tidak adil dalam konteks membajai penulis-penulis yang sepatutnya kita angkat sebagai penulis besar negeri kita. Kerana itulah kita masih terus dibuai dengan isu lama yang menidakkan kewujudan orang lain atau kalau boleh enggan menyebut namanya sebagai golongan karyawan yang berpotensi waima dia tua sekalipun berkarya. Jika masih lembut ubunnya kita kalau boleh memastikan ia benar-benar matang dulu kemudian barulah kita akan pastikan dia sepatutnya di mana dan jika keserasiannya kurang, kita pastikan dia terkubur sahaja. Biar dia mati. Adakah kita mesti terus-terusan begini? Itu kerja salah sebenarnya.
Dalam kesusasteraan negeri Sarawak yang kekal mantap hari ini cuma ada dua badan sastera iaitu Putera dan Pekasa. Jika kita memahami kesusasteraan dikerjakan secara bersepadu dan menyeluruh, kita perlu bergerak sederap dalam gelanggang ini kerana ia terbina dalam perancangan yang baik, yang tidak dibuat sekadar hari ini kita buat begini, esok belum tahu lagi. Itu bukan kerja pengurusan namanya, itu kerja seronok-seronok sahaja yang hanya digunakan untuk mengisi masa santai sahaja. Kerja dalam kumpulan yang sangat kecil tidak memberikan dampak yang besar melainkan kita dengan seluruh kejujuran dan keikhlasan perihatin akan hal sastera yang lebih terjamin di negeri kita. Bahasa kita cukup indah dan mudah untuk diungkap. Ia pemberian Tuhan paling agung untuk umat manusia berbangsa Melayu di kepulauan nusantara ini. Kita wajar merasa besar hati akan keupayaan dialektika kita ini.
Jika inilah matlamat kita berkampung di Mukah, sebenarnya kita sudah berjaya tetapi jika kerja kita untuk menyakat si anu itu sudah tua nyanyuk dan keparat pula dan yang muda tak masuk diajar, kerja kita tidak lain tidak bukan sekadar membebel dan meracau yang akhirnya menuju ke jalan buruk sangka dan penuh benci. Hasilnya, kita lupa susah dulu kita membina bahasa dan sastera, kita terbuai enak kerana kejayaan kecil kita itu lalu asyik didendang lagu yang lama seolah-olah lagu lama itu sentiasa relevan untuk semua zaman walhal ia tidak sedemikian. Kita mesti sedar dan wajar memikirkan perkara pokok yang lebih penting, bahasa kita!

2 comments:

Penabahari said...

Pandangan saudara itu tepat ke sasaran dan penuh kejujuran. Terima kasih .

Anonymous said...

Perkampungan Penulis Sarawak, langkah murni DBP menemukan karyawan2 Sarawak yang mempunyai jihat yang sama iaitu ke arah perkembangan sastera tanah air. Peserta harus berterima kasih kepada pihak penganjur betapa 'untungnya' menjadi peserta kerana setiap 'satu kepala' bermakna kos, selain mendapat ilmu daripada pengisian perkampungan. Hanya ada risik2, kenapa buat itu tidak yang ini. Ada peserta lebih mengharapkan diadakan bengkel karya daripada menjadi khalayak diskusi, tapi dalam ini ada juga ruang perbincangan diberi, kalau nak memanfaatkan. Seperkara lagi bukan semua peserta penulis, ada juga 'aktivis' budaya dan ada juga sekadar pemerhati. Penyertan memang dibuka dan diiklankan, yang menjadi kekangan peserta yang betul2 'releven' menyertai tidak pula mempunyai pelepasan daripada ketua masing2, itulah kekangan yang dihadapi penganjur. Harap2 akan datang perkampungan penulis betul2 disertai oleh penulis tak kira genre apa demi kemajuan sastera kita.