Wednesday, June 18, 2008

Pekasa,memakmurkan pencinta bahasa dan sastera

Banyak yang perlu dilakukan dan ianya menuntut komitmen, kerjasama dan kejujuran semua kita. Zaman kita melihat banjir, kemarau dan tiupan sangkakala sepatutnya sudah berlalu. Kita wajar ke hadapan dengan pengurusan persatuan yang lebih baik, kurang blok itu blok ini dan yang penting bagaimana dalam kita sendiri itu ada kesungguhan untuk berjaya. Jangan asyik suruh persatuan melakukan sesuatu untuk kita sedangkan kita sendiri tidak berkarya. Masa kita makin suntuk dan kita sepatutnya kurang bercakap dan lebih bertindak. Kita permudahkan cara kita berfikir dan bertindak bagi memudahkan semua urusan. bagaimanapun kita juga menggunakan ruang yang ada itu untuk selalu melihat ke depan untuk berziarah dengan kerjasama pihak di luar termasuk menjalinkan silaturahim dgn orang lain. Lihatlah perjuangan dengan lebih terbuka dan jernih dan kurangkan melihat kekurangan atau keburukan orang tetapi gunakan kelebihannya untuk saling memajukan. Ramaikan kawan, kurangkan seteru dan hidup lebih bermakna. Jangan risau dgn kritikan atau kutukan kerana di situ ada kekuatan yang boleh kita bina. Ambil semuanya dgn baik dan positif dan kita akan menjadi semakin kuat dan tabah. Tak apa jika kita dicuba dengan bermacam cubaan kerana kita wajar mengakui setiap kita sarat dengan kesilapan. Kita ada anugerah Tuhan paling penting yang wajar kita pergunakan sebaiknya iaitu akal yang betul untuk menangkis, mempertahankan diri dan membela diri dan persatuan yang kita sayangi ini. Sastera dan bahasa mesti bergerak mengikut massa dan jika disebut begitu ia tidak mampu dilakukan hanya dibatasi kelompok seorang dua kerana tiada kekuatan yang mampu kita perolehi dengan cara begitu. Masa untuk melakukan cara sendiri-sendiri dan adhoc tidak ke mana perginya. Kita wajar bergabung, bersatu dan dekat selalu pada payung yang menaungi kita dan ia tidak lain, DBP, KPSU, Kekwa dan seluruh organisasi dan NGO yang sealiran.

No comments: