Wednesday, July 2, 2008

Berkampung dan berambih

Perkampungan Penulis Sarawak selamat diadakan di Mukah pada 27-29 Jun yang lalu, disempurnakan dengan jayanya. Tahniah Warismu, tahniah DBP dan tahniah semua mereka. Sebagai pencinta dan aktivis saya melihat hal ini dengan penuh suka dan bangga kerana lama kita tidak berkampng dalam suasana yang lebih besar seperti ini. Kita berdiskusi, berpuisi dan macam-macam ilham dan kreativiti akan muncul selepas itu. Yang menarik ialah bila Raden menyatakan tentang kertas kerja Nik bicara sastera siber di mana kita boleh meneliti blog rakan penulis kita yang menyatakan pendapat kita tentang dunia mereka, tentang alam dan macam-macam. Sebagai salah seorang blogger, saya amat mengalu-alukan rakan-rakan membina blog gunanya untuk menyatakan sesuatu yang lebih baik tentang karya kita, pendapat dan menyaring segala yang kita fikir tidak tepat atau perlu diberikan pandangan kedua. Sastera di Sarawak memang sudah menganjak ke depan tetapi tidak dalam hal-hal di mana orang ingin sama berjuang dalam dunia sastera secara yang lebih terancang dan bersepadu dalam kelompok persatuan. Tidak ramai yang gemar jadi aktivis dan berminat dalam memajukan sastera secara sukarela. Sebabnya persatuan menuntut pengorbanan, daya tahan, daya juang dan bersedia untuk digasak malahannya. Berpersatuan bermakna kita sudah dinilai kepimpinan, dikritik dan dicoba untuk pelbagai dugaan dan karenah atau kita sendiri yang membina karenah itu. Akhirnya, persatuan kita tidak habis-habis dilanda krisis dan kerja kita ujungnya berkelahi. Syukur, dalam Pekasa, nampaknya sekarang ini isu ini belum lagi nampak parah dan barisan yang baru tidak ada kecenderungan seperti itu. Kita perlu membangunkan bahasa kita kerana ini adalah warisan tamadun kita. Di sini kita boleh membina ilmu dan memperbanyakkan hasil dan sumbangan kemanusiaan secara hurufiah. Di sinilah perkampungan penting kerana kita menyuburkan pemikiran, meransang anakmuda untuk menulis dan kembali memberi kekuatan kepada mereka yang bergelar penulis.
Perkampungan bukan sekadar seronok berseminar atau apa saja yang sosial tetapi lebih dari itu kita sama-sama memikirkan bagaimana bahasa dan sastera kita boleh maju dan kita mempertahankan bahasa ibunda kita kekal berfungsi sebagai alat komunikatif paling berkesan untuk memperhebatkan bangsa. Dengan perkembangan teknologi yang ada sekarang, e kumpulan, blog dan laman web menjadi pelantar penting untuk memajukan sastera dan hendaknya kita memanfaatkannya dengan baik. Walaupun saya tidak hadir di Mukah kerana kekangan tugas rasmi yang juga jatuh pada tarikh yang sama, saya sebenarnya ada di kawasan Tengah Rejang waktu itu, cuma saya dapat khabar dari teman-teman yang kembali ketika balik dari Sibu. Viva WarisMu, Viva DBP, Via semua penulis sarawak.

1 comment:

Anonymous said...

saya petik kata-kata saudara
" Di sinilah perkampungan penting kerana kita menyuburkan pemikiran, meransang anakmuda untuk menulis dan kembali memberi kekuatan kepada mereka yang bergelar penulis.
Perkampungan bukan sekadar seronok berseminar atau apa saja yang sosial tetapi lebih dari itu kita sama-sama memikirkan bagaimana bahasa dan sastera kita boleh maju dan kita mempertahankan bahasa ibunda kita kekal berfungsi sebagai alat komunikatif paling berkesan untuk memperhebatkan bangsa"
Alangkah indahnya impian saudara.Sayangnya saudara tidak hadir ke Mukah. Ada teman yang terlanjur berbahasa sehingga melukakan banyak hati penulis sama ada yang tua mahu pun yang muda. Sayang sekali seorang yang arif tentang bahasa masih membuat kesilapan dalam berbahasa.