Saturday, July 5, 2008

Tuhan, selamatkan Malaysia

Tuhan, sekian banyak laman, maklumat, fitnah, khabar angin dan entah macam-macam cerita telah melayang luas ke segenap ruang dalam senario kuasa dan politik Malaysia. Tulisan-tulisan merbahaya dan hina-menghina ini berleluasa di mana-mana dan boleh dibaca dengan bebas tanpa batas lagi. Samada manusia di Malaysia ini kian hilang pertimbangan akal budi dan hilang rasa belas ikhsan sesama insan, nampaknya semua orang terdesak untuk melakukan perkara-perkara dahsyat untuk menghancurkan negara ini. Ummah gayanya lebih rela berkelahi dan melakukan perkara jahat dalam segala mekanisma untuk menumbangkan lawan. Inikah kuasa dan politik sebenarnya Tuhan? Inikah gaya dan helah untuk membina Malaysia yang maju Tuhan? Inikah gaya dan bentuk untuk memakmurkan sesama insan dan memberikan kebijakan kepada anak-anak kita Tuhan?

Saya tidak tahu tetapi saya lebih menginginkan Malaysia yang bermaruah, yang aman dan membahagiakan, negara yang memberikan kesejahteraan dan rakyatnya tidak runtuh dan para pemimpin dan pemain politiknya bertanggung-jawab. Sayangnya, ini telah diketepikan kerana ingin kuasa dan kelupaan mereka kepada Tuhan yang sebenarnya lebih berkuasa. Negara akan ranap dan kita akan terus rosak jika perkara seperti ini tidak dibendung dan kegilaan manusia untuk saling melemparkan tuduhan tidak dihentikan. Insaflah semua mereka yang membawa unsur-unsur yang boleh merosakkan ini. Insaflah kerana negara kita masih terlalu muda untuk kita musnahkan hanya dalam sekelip mata ini. Jika ini terjadi, bala Tuhan ke atas kita akan datang segera kerana tangan-tangan durja kita yang tidak henti-henti menabur segala permainan kotor hanya kerana inginkan kekuasaan dan kebencian kita kepada orang tertentu. Jika pun kalian bermusuh dan berkelahi, jangan seret semua orang dan jadikan massa untuk menyelamatkan salahlaku anda. Hadapilah ianya dengan penuh jujur dan bertanggung-jawab jika anda tahu anda benar dan betul. Kebenaran akan terpancar jika kita teraniaya. Jangan bersandiwara hanya kerana kita mahu menyelamatkan diri sendiri akibat permainan sumbang diri sendiri.

Tuhan! berikan kami ketabahan dan pertimbangan akal yang waras kerana jika keadaan ini tidak segera dibendung, tidak mustahil sesuatu yang buruk akan berlaku. Negara akan huru-hara dan rakyat akan bergaduh sesama snediri. Kau selamatkan politik, sosial dan ekonomi negara kami ya Allah. Kami masih ingin melihat persaudaraan bertaut erat dan semua orang hidup bahagia dalam genggaman perpaduan yang tulen dan sejati. Kami tidak mahu lagi membiarkan negara kami hancur kerana ia tidak menguntungkan sesiapa melainkan mereka yang inginkan negara ini terjajah semula. Selamatkan Malaysia ya Tuhanku!

No comments: