Thursday, July 3, 2008

Biar rakyat dan kebenaran menjadi hakim

Berbagai peristiwa menarik berlaku di negara kita, gara-gara politik dan kuasa. Kerja jatuh-menjatuh, aib-mengaib menjadi bukan lagi luarbiasa, malahan sampai ke satu tahap yang amat getir dan mengelirukan sehinggakan kita tidak lagi dapat mengetahui siapa salah dan benar. Antara keduanya rencah dan menu dengan sandaran org bijak di kiri-kanan, drama kian tambah menarik. Namun kita percaya, kebenaran akan perpacul lambat laun juga nanti dan siapa yang sebenarnya salah pasti tidak akan dapat lari dari kepuraannya. Siapa salah siapa benar bukan kita yang menentukan tetapi dalam diri orang itu sendiri. Bukti, akuan dan penafian memanglah mainan kita sebagai insan yang lemah. Jika kita insan yang baik, kita tidak akan menganggu orang lain. Kita tak kucar-kacirkan keadaan. Dunia memanglah permainan dan sesiapa sahaja berhak mewarnainya dengan gelagat kita. Buatlah ikut kehendak sendiri dan jika laku kita salah maka kita akan menjawabnya nanti tanpa ada penafian lagi. Hanya Tuhan yang maha adil dan dia tidak bersandiwara seperti kita. Saya bukan orang parti, tidak berminat menjadi ahli politik tetapi seronok juga menjadi penonton. Orang politik pandai bersilat an menangkis. Itu memang kerja mereka dan kemahiran itu dimiliki bukan dari calang-calang orang, orang yang pandai bercakap, pandai berfikir dan bijak mengatur gerak. Tetapi sebagai penulis, saya boleh melihat orang bermain, mentafsirkan permainan itu dan menjadikannya sesuatu untuk bahan karya dan akhirnya jadilah sebuah kisah sastera yang menarik untuk dibaca. Kita belajar dari sini. Kita membina tamadun, mengajak orang berfikir secara baik, secara jernih dan kurangkan kerja-kerja jahat dan saling jatuh-menjatuh, hina menghina kerana kesudahannya tiada siapa pun yang untung malahan negara akan rosak dan kita mungkin boleh menggadai masa depan negara.
Sayangilah negara ini dan kita memerlkan pemimpin yang sewajarnya tahu menjaga negara sebagaimana bapa menjaga keluarga. Kita amat berharap negara kita tidak akan rosak dan rakyat hidup aman makmur. Rakyat hendaklah bijak menilai dan tahu membuat pertimbangan kerana hakim terbaik yang wajar dipandu ialah rakyat. Rakyat yang baik tidak akan terlibat dengan perbuatan yang salah sama seperti pemimpin. Sbagai orang yang berfikir percaturan yang merugikan bererti membawa diri kita ke lembah kehancuran dan fikirlah apakah ini yang kita mahu? Tuhan, selamatkan Malaysia!

No comments: