Friday, February 27, 2009

Melihat kenyanyukan

Minggu ini rentetan peristiwa berlaku di depan kita dengan pergolakan dan provakasi yang dicetuskan ahli politik kita - tidak kira mereka veteran atau muda, motifnya jelas mereka sudah menjadikan medan di Parlimen gelanggang untuk menunjukkan jaguh. Dalam parlimen mereka telah meletakkan diri mereka seperti raja dan menggunakan segala bahasa celupar dan kesat yang sebenarnya menampakkan kegelojohan, keangkuhan dan sebenarnya kebodohan mereka sebagai manusia yang lebih waras dan diberikan Tuhan akal untuk menjadi lebih insani. Sikap percaya kepada pendirian sendiri, tafsiran pandangan sendiri dan hujah yang menguntungkan diri sendiri jelas sekali dipergunakan sebaiknya untuk menegakkan akal dan pendirian diri sendiri. Provokasi ini jika berterusan berlaku akan memungkinkan perkelahian yang lebih besar kerana jelas sekarang ini, orang yang dulunya dianggap minoriti telah mendapat keajaiban untuk menunjukkan taringnya dan melupakan bahawa majoriti yang ada itu sedang menunggu masa untuk bertindak di luar batas rasional. Jika hal ini masih tidak dikawal atau dibendung, kemungkinan besar hal yang dahsyat pasti akan berlaku dan jiwa yang tidak berfikir sebaiknya akan melayang. Emosi kian dipermainkan sebaiknya oleh para politikus kita dan kerja tafsiran undang-undang dan saman-menyaman menjadi semakin ketara. Hal ini terjadi kerana masalah sebenarnya orang Melayu sudah jelas sekali rosak dan berpecah-belah. Mereka dalam keadaan yang lemah dan tidak teratur lagi dalam proses berfikir dengan lebih baik dan rasional mengakibatkan tindakan mereka sudah lari dari cara asal golongan yang lalu, yang lebih santun dan menghormati pemimpin. UMNO, PAS dan orangIslam akan rugi besar jika mereka masih enggan melihat kerosakan yang telah berlaku ini dan jika mereka tidak sedar akan perpaduan yang perlu mereka tegakkan, kemungkinan besar dalam 10 tahun akan datang, Malaysia akan bertukar menjadi Singapura, contoh terbaik yang telah melenyapkan kuasa politik orang Melayu dan merugikan survival bangsa. Orang Melayu mesti sedar mereka tidak mampu lagi berlaga fikiran hanya kerana pemimpin kita semakin rakus dan mementingkan diri sendiri kerana ingin berkuasa dan menganggap diri sama seperti Raja juga. Golongan minoriti kini sedang mula memperlihatkan kejaguhannya, semakin berani dan mempersoalkan banyak perkara tidak kira yang membabitkan hak istimewa Bumiputera, bahasa, Raja dan agama Islam. Orang Melayu mesti berwaspada dan segera sedar kerana jika mereka silap, masa depan cuci cicit kita akan tergadai dan yang ada pada kita hanya tinggal nama sahaja. Ayuh segera bangkit dari lena dan permainan bodoh yang merugikan ini.

No comments: