Thursday, March 19, 2009
Budaya Sarawak yang Indah
15-21 Mac 2009 merupakan tarikh penting dalam kalendar YBMS di mana sepanjang minggu kita dihidangkan dengan rentetan aktiviti daripada Yayasan Budaya Melayu Sarawak. Pelbagai aktiviti diadakan dan yang menariknya kita merasakan orang melayu di Sarawak masih wujud dan sayangkan warisan milik mereka. Namun sayangnya, majlis dan aktiviti yang sedemikian mulia tidak ramai yang menyedarinya. Samada publisiti yang kurang meluas atau apa-apa halangan yang sinonim dengannya, tenaga penggerak dalam YBMS nampaknya gagal menarik audiens untuk mendengar ceramah tokoh yang diadakan pada 17 Mac itu misalnya. Dengan cerita yang menarik dibicarakan oleh pembicaranya, kita serasakan bahawa usaha yang cukup murni itu bagaikan menjadi sia-sia kerana yang hadir mendengar ceramah cuma beberapa kerat orang sahaja sedangkan isinya sangat bermakna dan penting sekali untuk menyedarkan umat Melayu di Sarawak agar mereka lebih sedar diri. Di mana mereka, mungkin berlonggok di kafe atau cofee house memikirkan hal-hal mereka yang lebih penting. Mungkin mereka sibuk dan tidak perlu memikirkan tentang nasib seluruh orang melayu di negeri Sarawak Darul Hana ini. Sewajarnya kita mengucapkan terima kasih kepada YBMS kerana memikirkan hal itu dan hendaknya jawatankuasanya dilingkungi juga orang-orang baru yang lebih energetik membantu ahli-ahli mereka yang ratanya terdiri daripada orang pencen yang pergerakannya tidaklah selincah orang muda. Mungkin sebab itulah seminar mereka nampaknya lesu dan lembab dan penyertaan audiens boleh dihitung jari. Saya sangat gembira kerana cikgu Zainal Abidin bercerita pasal pendidikan di zamannya. Sedihnya juga mendengar cerita AB Nor tentang perjuangan anak seni yang sentiasa ghairah dengan dunia seninya hingga ada yang mati di atas pentas. Seronok mendengar tokoh-tokoh ulama yang belajar sampai ke Singapura di Madrasah Al-juneid untuk menjadi orang penting agama. Permulannya mereka melalui detik sukar dan belajar ke negeri orang dengan harapan menggunung dgn semangat patriotik yang tinggi. Orang bangga dengan cikgu Muhamad Bujang yang merupakan orang terawal berguru di Maktab perguruan Tanjung Malim, Mortada haji Daud di Singapura dan Osman B yang begitu tekun dengan orkestra bangsawannya. Ini semuanya perjuangan. perjuangan memertabatkan harta bangsa milik warisan mereka. Hal ini tidak bermakna jika tidak ada lagi orang yang berminat dan menjadi penyambung kepada nilai-nilai itu. Kita mesti sedar dan bertindak melakukan sesuatu demi untuk harga diri adat, budaya dan warisan bangsa kita. Tanpa nilai-nilai ini tidaklah kita digelar Melayu Sarawak. Kita tidak perlu menjadi terlalu obses untuk menjadi Melayu tetapi berbangga dengan warisan yang kita ada kerana dari situlah kita digelar bangsa yang berbudaya dan bertamadun. Hari ini, kita terjebak antara dua simpang, arus moden yang berkiblatkan materi dan kesedaran untuk mempertahankan budaya bangsa milik kita. Kita telah melahirkan ramai tenaga profesional tetapi sayangnya kita tidak begitu faham tentang pengertian budaya, bahasa dan budaya milik kita. Ini perlu diperbetulkan dan kita perlu bekerja keras ke arah itu. Sekarang ini tak ramai yang gemarkan bangsawan Melayu. Anak-anak kita sukakan realiti TV. Mereka tidak perlukan drama dalam syair lagi. Kenapa, kerana zaman telah berubah dan hendaknya kita kembali mengubah zaman, bukan zaman dan pencemaran mengubah kita. Jika kita gagal, kita akan hancur ditelan arus zaman dan kita kehilangan mutiara berharga milik bangsa kita.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
Tahniah sdr Taufiq Firdausi atas pelancaran kumpulan puisi sulung sdr, Jatuh Ke Laut. Tentunya sekarang sedang mengusahakan yang kedua. Semoga sukses.
Saudara Taufik18..
lama tak dengar berita.. :)
Semoga sukses sentiasa!
Post a Comment